Allahu Akhbar..Allahu Akhbar
Setiap yang datang pasti akan pergi. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, maka berakhirlah Bulan Ramadhan dan diganti oleh Bulan Syawal. Bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan dalam setiap ibadah yang dikerjakan oleh hambaNya yang soleh. Disitu terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Kini episod itu telah berakhir bagi tahun 1431 H. Pemergiannya begitu dirasai oleh orang yang benar-benar menghayatinya.
Bertakbir atau Membazir
Maka, tibalah manusia menyambut bulan Syawal dengan meraikan kemenangan iaitu Aidilfitri, salah satu perayaan terbesar umat Islam. Aidilfitri disambut takbir, membesarkan Ilahi pemilik dunia dan seisinya tanda kita mentauhidkan Nya. Segala persiapan dan kelengkapan disediakan bagi memastikan perayaan ini disambut dengan meriah. Malangnya, kebanyakan umat Islam pada zaman ini bukanlah menjadikan takbir sebagai keutamaan ketika menjelang raya, tetapi membeli barang-barang yang kadang kala belum pasti manfaatnya. Sedangkan kita hanya ada peluang satu hari sahaja untuk bertakbir. Satu tempoh yang amat pendek.
Pada malam raya, manusia sibuk keluar pergi ke bazar-bazar untuk membeli barang-barang demi mendapatkan harga murah. Sibuk berjalan kesana ke mari. Tetapi apakah nasib masjid dan surau seperti bazar-bazar?meriah? Begitu juga dengan sikap kebanyakan orang yang bermain mercun dan bungan api. Ada pertanyaan dari seorang sahabat:
" Tak main bunga api ke?"
" Daripada beli main bunga api lebih baik beli makanan. Kenyang" Itulah jawabku. Mungkin agak kasar bunyinya. Tetapi itulah pandangan yang perlu diubah. Perayaan mesti ada bunga api, mercun dan meriam. Itu bukanlah keutamaan. Sedangkan itu sebenarnya adalah pembaziran. Harga mercun lima ringgit habis dengan hanya satu letupan sahaja. Bertakbirlah bukan membazir.
Bermaafan dan Bertaubat
Setiap tahun, sudah menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia akan meminta maaf sesama ahli keluarga dan sahabat. Kadang kala sehingga menjadi satu drama yang amat menyedihkan dan penuh kesyahduan. Adakah hanya pada hari raya sahaja perlu meminta maaf? Jika begitu, ia sudah menjadi adat dikalangan masyarakat umat Islam. Sedangkan meminta maaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja jika kita mahu. Cuma suasana agak berbeza. Mungkin suasana itulah yang diinginkan.
Tetapi sejauh manakah maaf kita? Adakah hanya dibibir sahaja? Jika begitu, sia-sialah maaf kita itu dan tidak ubah seperti adat dan tradisi. Setelah meminta ampun, kesalahan yang sama diulangi lagi. Maka ubahlah bersama, apabila meminta maaf kita bertaubat. Maknanya, menyesali kesalahan yang dilakukan. Kemudian memohon keampunan dari Allah. Berhenti melakukan kesalahan dan terus memperbanyak amal. Ini menunjukkan kesungghan dalam meminta maaf sesama manusia dan akan menjadi ibadah disisi Allah.
Pasca Ramadhan
Kini kita berada di pasca Ramadhan. Tempoh ini mungkin lebih sukar berbanding tempoh sebelumnya. Dahulu umat Islam sibuk membuat persedian untuk menghadapi bulan Ramadhan, kemudian bersungguh-sungguh dengan amalan ketika tibanya bulan tersebut. Apabila berlalunya tempoh tersebut, inilah ujiannya yang sebenar. Adakah amalan kita seperti di bulan Ramadhan?Istiqamah? Jika kita menghadapi sebuah peperiksaan, keputusannya adalah selepas tamatnya tempoh tersebut. Kita betul-betul menjawab dan menulis untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Tetapi itu hanyalah diatas kertas, apabila tamatnya peperiksaan, kita tidak akan mengulang kaji pelajaran.
Di dalam amalan adakah begitu? Sudah tentu tidak. Bulan Ramadhan kita diuji, kita tingkatkan amalan-amalan bagi yang wajib lebih-lebih lagi yang sunat. Apabila berakhirnya Ramadhan, sejauh manakah amal ibadah kita? Itulah keputusannya. Kita boleh nilai sendiri. Semakin bertambah baik atau sama sahaja. Ataupun sebaliknya.
.:SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN:.
0 comments:
Post a Comment