Monday, May 11, 2009

Belajar Berubah Dari Rasulullah

Tidak ada retorik yang paling hangat diperkatakan dewasa ini melainkan perubahan. Pemimpin mahu mencetuskan perubahan. Rakyat inginkan perubahan. Ya, sama ada perubahan itu kerana “ terpaksa” atau “rela”. Pokoknya semua ingin berubah. Jadi mengapa kita tidak belajar daripada Rasulullah s.a.w untuk melakukan perubahan? Bukankah baginda itu kita akui sebagai role model dalam kehidupan?
Rasulullah menggunakan kaedah daripada Allah untuk mengubah manusia. Walaupun arab jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik, ekonomi, dan social, tetapi Rasulullah tidak mengubat “ penyakit-penyakit’ itu pada kesannya, tetapi terus pada puncanya.
Baginda yakin kegawatan yang bersifat lahiriah itu adalah hasil daripada sakitnya tiga elemen dalaman manusia- akal yang jahil, hati yang keras, nafsu yang liar.
Inilah punca kejahatan manusia. Menyedari hakikat ini, Rasulullah memulakan perubahannya dari dalam ke luar, bukan dari luar ke dalam.
Tiga belas tahun Rasulullah menangani elemen dalaman dengan wahyu di peringkat Makiyyah. Ayat-ayat al Quran peringkat itu pendek-pendek dan sarat dengan persoalan tauhid. Semuanya berkisar pada asas iman. Juga menggambarkan betapa nikmatnya berada di dalam syurga dan seksanya azab neraka.
Itulah kunci kea rah perubahan sikap. Tauhid yang kuat, secara automatik mengubah rasa, fikiran dan tingkah laku manusia. Semua itu membekalkan kekuatan pengetahuan,kemahuan dan kemampuan untuk berubah.
Tauhid ialah sumber kekuatan kerana ia mampu mengatasi semua elemen negative yang datang dari luar diri sama ada dari keluarga, persekitaran, budaya bangsa dan sebagainya.
Selepas itu, di peringkat Madaniyyah, aplikasi system Islam mula dilaksanaka secara total. Dimulakan dengan agenda ekonomi, politik, budaya, pertahanan dan lain-lain. Namun asas dan teras tauhid yang telah dibina diperingkat Makiyyah tidak pernah dipinggirkan, bahkan terus-menerus disuburkan.
Seperkara lagi, kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada factor pengubah individu itu sendiri. Justeru, pemimpin atau sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu yang hendak mengubah sikap bangsanya mestilah menjadi tauladan kepada perubahan. Jadi, berubahlah untuk merubah orang lain.
Rasulullah berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadu qudwatun hasanah- contoh yang bai sama ada pada seruan, pendidikan mahupun pimpinannya. Hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya terlebih dahulu, barulah dia boleh berjaya mengubah sikap orang lain. Hal ini kerana manusia lebih mempercayai mata dari telinga.
Dua factor perubahan – pertama, formula perubahan. Kedua, pemimpn perubahan, perlu ditangani secara serius sekiranya kita benar-benar ingin berubah. Kita perlu berdoa, semoga setiap pemimpin muslim tidak kira di kumpulam mana pun mereka berada, sedarlah hakikat ini dan mulalah melusuri kaedah Rasulullah ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails