Friday, August 27, 2010

Kita adalah Simetri....

Sudah lebih 3 tahu tidak menghadap matematik sejak tamatnya peperiksaan SPM 2006, tiba-tiba teringin nak membuat minor dalam ekonomi dan subjek yang perlu diambil adalah Bisnes Matematik. Apabila masuk sahaja kelas, memang agak sukar untuk memahaminya sebab masa disekolah dahulu, aku belajar dalam bahasa Melayu, sekarang bahasa Inggeris. Tapi itu bukanlah masalah utama tetapi semakin hari aku makin teruja walaupun dalam keadaan payah. Kali ini  ada perkara yang ingin dikongsi mengenai matematik iaitu SIMETRI.


Apakah maksud simetri? Perkataan ini biasa digunakan dalam bidang matematik, sains, fizik dan geometri. Simetri bermaksud pencerminan iaitu operasi mencerminkan pada satu garisan. Ia juga boleh menjadi satu putaran objek dengan menjadikan satu titik sebagai pusat. Dalam erti kata lain pula, simetri adalah terjemahan dengan mengubah objek.

Sebenarnya, simetri bukan sahaja terhad kepada objek atau subjek uang dipelajari sahaja, dalam erti yang lebih luas, kita semua adalah simetri. Simetri bagi siapa? Itulah persoalan yang pasti semua orang mampu menjawab. Simetri yang pertama ialah ibu bapa. Ya, semua manusia adalah simetri bagi ibu bapanya. Seperti pepatah Melayu yang sering diungkap Bapa borek Anak rintik. Lihatlah perangai anak-anak kita, itulah sikap kita sebenarnya wahai ibu bapa. Walaupun anak tersebut gagal meniru apa yang kita ungkap tetapi mereka tidak gagal meniru apa yang kita lakukan. Teringat satu kisah yang berlaku pada zaman Amirul Mukminin Saidina Umar. Pada suatu hari, seorang lelaki mengadu kepada Umar mengenai derhaka anaknya kepadanya. Akan tetapi dengan kebijaksanaan Saidina Umar, beliau bertanya kepada anak tersebut, benarkah dia telah menderhakai bapanya. Anak itu menjawab bahawa bapanya telah menderhakainya dahulu dengan tidak mendidiknya dengan didikan agama, solat dan sebagainya. Ini adalah contoh mudah untuk difahami. Jika perlakuan buruk pun ditiru oleh anak, apataha lagi perkara yang baik. Insya Allah ia akan lebih bermanfaat jika ditiru.

Kedua ialah simetri bagi sahabat kita. Lihatlah siapa sahabat kita? Soleh atau sebaliknya. Itu akan mempengaruhi setiap tindakan dan sikap kita. Sebab itu kita digalakkan untuk bergaul dengan orang yang soleh dan para alim. Dengan bahasa mudahnya, orang akan dapat mentafsirkan setiap tingkahlaku kita. Ia akan menjadi persoalan setiap individu dengan siapakah orang ini bergaul? Walaupun kadang kala tidak tepat seratus peratus, tetapi sangkaan hampir tepat.

Ketiga pula ialah simetri bagi pemimpin. Dalam sebuah hadis ada menyebut " Manusia mengikut agama rajanya(pemimpinnya)". Contohnya kita lihat sejarah Melaka apabila sultan memeluk Islam, seluruh rakyatnya turut menuruti agama Islam. Jika kita lihat dalam konteks yang lebih luas ialah sikap. Seperti zaman Umar Abdul Aziz, sebelum beliau menjadi khalifah, seluruh rakyat sebelumnya asyik bercakap mengenai makanan, perempuan dan sebagainya yang berkaitan dengan duniawi. Ini desebabkan oleh khalifah sebelum itu berkelakuan sebegitu. Tetapi apabila Umar Abdul aziz menjadi khalifah, seluruh rakyat berubah dan membincangkan masalah berkaitan agama.

Ringkasnya, kita bukan sahaja simetri bagi orang lain, tetapi orang lain adalah simeti bagi diri kita. Lihatlah dan renunglah kemudian hisablah diri. Itu adalah sebaiknya. Sungguh indah Allah ciptakan sesuatu untuk kita jadikan iktibar dalam menuju ke satu tempat yang abadi.

Hakikatnya, Kita Adalah Simetri....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails