Thursday, October 21, 2010

Bersangka Baiklah Terhadap Allah


Masih teringat semasa menuntut di Maahad Johor atau MJ, seorang ustaz yang dipangil sebagai ustaz Zul, beliau selalu menceritakan mengenai pengalaman hidupnya sejak dialam persekolahan sehigga sekarang. Dalam banyak-banyak cerita hanya satu sahaja yang aku ingat nasihat beliau, Bersangka Baiklah Terhadap Allah. Satu kalimah azimat yang mudah diucap tetapi sukar untuk diamal. Berliau berkata jika kita diuji sama ada dengan kepayahan atau kesenangan, bersangka baiklah.


Ujian mendatang dengan tanpa diduga, datang dalam keadaan kita gembira, senang dan ketawa. Apabila saat itu tiba, teguhkah kita? Allah menguji kita dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, peperangan, bala dan sebagainya. Tetapkah kita? Ketika itulah jelas siapa kita, siapa sahabat kita, siapa dia pejuang. Teringat kata-kata En Ahmad Azam," Kita nak tahu siapa kawan kita, bila datang krisis."

Kenapa kita diuji?

Firman Allah dalam Surah Al Ankabut : 1-3
Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Ujian adalah sebagai tanda orang beriman. Tanpa ujian, tahap ilmu seseorang tidak boleh dinilai. Tanpa ujian kekukuhan bangunan tidak dapat ditentukan. Begitu juga dengan ujian keimanan dapat dipastikan.

Ujian juga sebagai tanda kita ini adalah makhluk yang lemah. Dengan dugaan, ego akan jatuh, takabbur akan lebur akhirnya tersungkur lalu tersedar bahawa aku ini lemah, tidak mempunyai apa-apa. Kita hanya mampu berusaha tetapi keputusan akhir Allah tentukan. Jika baik syukur, jika buruk sabar.

Ujian juga adalah menunjukkan kita ini sebenarnya mampu mneghadapinya dan menanggungnya. Allah berfirman:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286.

Apakah tindakan kita?

Allah berfirman:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45.

Hanya Allah sahajalah tempat mengadu dan meminta pertolongan. Itulah yang sebenar-benarnya. "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." - Surah At-Taubah ayat 129.

Bersangka baiklah terhadap Allah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails