Saturday, April 10, 2010

MURABBI CINTA, SEORANG NABI

 

“Kepalaku!” kata Aisyah.

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah
radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan
al-Baqi’ lewat malam tadi.

Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.

Baginda menyedarinya.

“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa
lega.

Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling
berharga.

Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.

“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati
sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan
dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau
akan kukebumikan!!”, usik sang suami.

“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau
akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang
masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk.

Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.

Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan
mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula
mengusik isteri yang tidak tentu rasa.



SAKIT YANG BERTAMBAH

Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.

Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam
memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu
‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan
sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!

“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa
sallam bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ’sedar’ akan tanggungjawab
dirinya berlaku adil kepada para isteri.

Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya.
Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam
melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya
dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri
berbanding yang lain.

Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah
hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah.

Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit
daripada hati yang mengasihi.

“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah”
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para
isterinya.

Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda
tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang
isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati.
Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada
isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh
mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?



HARI-HARI TERAKHIR

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri
Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka.
Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi
wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya
cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi
ke telinga anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha
bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi
wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa
sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama
kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk
menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku,
apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam dahulu?”

Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!

“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata:
sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan
al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku
dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda
ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu
dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan
ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku
dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu
bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan
sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada
kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa”

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti
pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu
‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang
pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!



DETIK SEMAKIN HAMPIR

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada
Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi,
benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa
kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali
merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman
kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada
dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya
kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur
Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti
sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat
umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani
kematian Baginda.

Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi
sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah
Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam
suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke
atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin,
dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah
menyempurnakan pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi
wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang
kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma,
ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu,
Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang
adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya.
Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak
itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya,
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak
itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya.
Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah
kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan
terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu
‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya
di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu
berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya
amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat
al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit
lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah
aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.

Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi
ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya
harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai
orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah
salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]

Kami rindukanmu.

1 comments:

AL-ZAHRAWI said...

alhmdulillah,syukur dikurnia seorang nabi bwt ummah..Ya Allah,pertemukanlah kami dgnnya,di syurga abadiMu..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails