Saturday, July 10, 2010

Pelangi, Bezanya tidak Berpisah

"Abang Hadi, tengok tu. Pelangi", sambil menunjukkan jari ke atas langit.
"Yelah".
Subhanallah, sungguh indah pelangi yang dicipta oleh Allah. Sungguh cantik, unik, dan besar dan tidak mampu untuk manusia melakukannya sebesar itu. Fenomena kejadian pelangi itu disebabkan oleh fenomena optik dan meteorologi yang menghasilkan spektrum cahaya (hampir) selanjar di langit apabila matahari bersinar semasa hujan turun. Ia merupakan satu lengkung yang berwarna-warni dengan warna merah di lengkung paling luar dan ungu di lengkung paling dalam. Mengikut urutan, warnanya ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.


Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara. Sebab itulah pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung (bulat) kerana titisan air di udara berbentuk bulat/sfera. Namun biasanya bahagian bawah pelangi itu "terlindung" oleh bumi. Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah. Itulah kefahaman secara ringkas dari sudut sains.

Berbeza tidak Berpisah

Jika direnung dalam-dalam, hebatnya pelangi dicipta oleh Yang Maha Kuasa membawa kita kepada seribu satu hikmah dan maksud yang boleh kita ambil. Sebagaimana yang telah disebutkan tadi, pelangi mempunyai tujuh warna yang berbeza tetapi tidak pernah terpisah antara satu sama lain dan mesti berada pada satu garisan. Sesuatu yang amat menakjubkan. Tidak ada pertindihan dan berada pada kedudukan dan susunan yang teratur dan rapi. Sedap mata apabila memandangnya.

Begitulah kita sebagai manusia, makhluk yang berakal. Setiap orang mempunyai pandangan, idea dan fahaman yang berbeza. Sebagaimana peribahasa Melayu menyebut rambut sama hitam, hati lain-lain. Namun, perbezaan ini hendaklah kita harmonikan, kita satukan dibawah satu asas yang sama. Mungkin kita berbeza dari sudut cabangnya tetapi mesti sama dari suduk pokoknya atau usul. Perbezaan itu adalah satu rahmat. Sebagaimana pelangi, perbezaan warna bagi setiap lapisan menjadikan ia sangat cantik.

Allah berfirman,"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (QS 3/103)

Ini jelas sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah agar kita berpegang pada tali Allah dan jangan seekali berpecah belah. Jika warna pelangi itu berterabur disana sini, sudah tentu tidak sedap untuk dipandang. Jika pelangi itu tidak dibiaskan, ia akan menjadi satu.

Jika dibaca kisah ulama-ulama dan cendekiawan Islam terdahulu, walapun pun mereka berbeza pendapat dari segi mazhab, tetapi mereka menghormati antara satu sama lain. Hebatnya mereka memahami mesej yang disampaikan oleh Allah.

Tetapi, berbeza dengan apa yang berlaku dizaman ini. Amat menyedihkan. Fitnah memfitnah akan berlaku jika tidak sehaluan atau sefikrah hingga saman menyaman. Ingin membetulkan ummat kononnya, tetapi yang berlaku perpecahan yang kian menular. Jika diambil ibrah dari pelangi, banyak yang kita boleh pelajari.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails